Alhamdulillah,
esok bersamaan 10 Zulhijjah, kita umat Islam di seluruh dunia akan
menyambut kedatangan Aidil Adha yang disebut juga sebagai hari Raya
Haji atau hari Raya Korban. Aidil Adha merupakan antara hari kebesaran
Islam. Pada hari itu, umat Islam akan mengagungkan Allah s. w. t.
dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar
Islam dengan melakukan ibadah korban untuk mendekatkan diri kepada
Allah.
Aidiladha adalah satu hari perayaan yang agung. Perayaan yang membawa
bersama mesej dan pengajaran. Antara pengajaran penting Aidil Adha
ini adalah kesatuan umat. Walaupun umat Islam terdiri dari berbagai
bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, ia adalah umat
yang satu. Umat yang menyembah Tuhan yang satu.
Umat yang mengikut syariat Nabi yang satu iaitu Muhammad s. a. w.
Umat yang mengadap satu Kiblat. Sujud kepada Tuhan yang satu. Umat
yang bersatu menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan. Umat yang
berkumpul di padang Arafah dan Mina untuk melakukan ibadah Haji
di tempat yang satu. Sesungguhnya tiada umat lain di atas muka bumi
ini yang mempunyai kesatuan dengan berpandukan syariat yang indah
seperti ini. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:
وَاعْتَصِمُواْ
بِحَبْلِ
اللّهِ
جَمِيعًا
وَلاَ
تَفَرَّقُواْ
Bermaksud: "Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali
Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai".
Sudah sewajarnya kita melahirkan rasa syukur kita kepada Allah s.
w. t. dengan melaksanakan konsep ini, iaitu konsep kesatuan. Kita
tidak mampu berpecah-belah. Kita tidak mampu membiarkan anasir fanatik
terhadap sesuatu fahaman, mazhab atau pendapat, untuk memecah-belahkan
kita. Kita tidak boleh membiarkan Syaitan membisikkan di telinga
kita bahawa fahaman kita yang baik sedangkan fahaman atau pendapat
saudara kita yang lain salah semuanya. Kita perlu bersatu untuk
menjadi kuat, kerana denagan kekuatan umatnya sahajalah Islam akan
tertegak kukuh di bumi Allah.
Sebenarnya, Aidil Adha juga membawa bersamanya mesej persamaan
dan keadilan sejagat. Agama Islam adalah agama yang tidak memandang
pada status seseorang, sama ada kaya atau miskin, cantik atau sebaliknya,
pandai atau lemah. Semua manusia adalah sama pada pandangan Allah
s. w. t. Hanya takwa sahaja yang membezakan antara seseorang dengan
yang lain pada pandangan Allah. Ini telah diingatkan oleh Allah
s. w. t. di dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:
يَا
أَيُّهَا
النَّاسُ
إِنَّا
خَلَقْنَاكُم
مِّن ذَكَرٍ
وَأُنثَى
وَجَعَلْنَاكُمْ
شُعُوبًا
وَقَبَائِلَ
لِتَعَارَفُوا
إِنَّ
أَكْرَمَكُمْ
عِندَ
اللَّهِ
أَتْقَاكُمْ
إِنَّ
اللَّهَ
عَلِيمٌ
خَبِيرٌ
Bermaksud: "Wahai manusia! Kami telah ciptakan kamu lelaki
dan wanita, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak
agar kamu kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang
paling mulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling
bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal".
Konsep kesamaan ini amat penting dalam Islam untuk mengelakkan
perpecahan di kalangan umat. Ia terlalu penting sehinggakan Rasulullah
s. a. w. mengingatkan umatnya ketika Baginda menyampaikan khutbah
wada', atau khutbah perpisahan beliau di bumi Arafah 1400 tahun
yang lalu. Rasulullah bersabda dalam khutbah tersebut yang bermaksud:
"Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan sesungguhnya
asal kamu adalah satu. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan bagi
orang Arab atas orang yang bukan Arab. Dan tiada juga kelebihan
bagi orang bukan Arab atas orang Arab. Orang berkulit putih kemerahan
juga tidak ada kelebihan atas orang orang yang berkulit hitam, dan
begitu juga sebaliknya, kecuali dengan taqwa. Sesungguhnya yang
paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa".
Aidiladha juga, mengingatkan kita tentang konsep pengorbanan seorang
ayah bersama anaknya dalam melaksanakan perintah Allah s. w. t.
Peristiwa Nabi Ibrahim a. s. diuji dengan perintah menyembelih anaknya
Nabi Ismail a. s. Peristiwa pengorbanan ini dirakamkan oleh Allah
s. w. t. di dalam surah As-Saffat, ayat 102 hingga 109. Antaranya
Allah menyatakan:
فَلَمَّا
بَلَغَ
مَعَهُ
السَّعْيَ
قَالَ يَا
بُنَيَّ
إِنِّي أَرَى
فِي
الْمَنَامِ
أَنِّي
أَذْبَحُكَ
فَانظُرْ
مَاذَا تَرَى
قَالَ
يَا أَبَتِ
افْعَلْ مَا
تُؤْمَرُ
سَتَجِدُنِي
إِن شَاء
اللَّهُ مِنَ
الصَّابِرِينَ
Maksudnya: Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang
membolehkan dia berusahabersama-sama dengannya, Nabi ibrahim berkata:
"wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi,
bahawa aku akan menyembelehmu; maka fikirkanlah apa pendapat mu.
Anaknya Ismail menjawab, wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan
kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang
yang sabar".
Dari ayat-ayat tersebut Allah menceritakan, bagaimana keimanan
yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim a.s. dapat melaksanakan
perintah Allah, sekalipun terpaksa mengorbankan jiwa anak kesayangannya
Ismail a.s. Begitu juga kekuatan iman Nabi Ismail a.s. yang sedia
menerima perintah sekalipun dirinya sebagai taruhan. Pengorbanan
dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa
kita agar kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam
kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah
s.w.t.
Jelasnya pengajaran yang dapat kita jadikan iktibar di sebalik
Aidiladha ialah peri pentingnya menjaga kesatuan, perpaduan umah
dalam masyarakat di samping kita memahami bahawa manusia itu adalah
sama disisi Allah, yang membezakan mereka adalah sifat taqwa yang
dimilikinya. Untuk mencapai perpaduan ini perlu ada pengorbanan
yang amat besar dari semua pihak serta kerjasama yang berterusan.
Ini tidak akan tercapai melainkan dengan ilmu pengetahun yang mendalam
dalam semua bidang kehidupan. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Walillahil Hamd.