APABILA sebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha, ramai yang
terbayangkan kumpulan jemaah yang sedang menunaikan ibadah Rukun Islam
kelima di kota mulia Mekah al-Mukarramah.
Tak kurang juga yang membayangkan lembu dan kambing yang disembelih
untuk korban, lalu menjadikan hampir setiap hari mereka akan menikmati
hidangan daging hingga boleh demam dibuatnya.
Hakikatnya, Aidiladha adalah lebih daripada sekadar kerja haji atau
korban. Aidiladha adalah sejarah besar mengenai bukti cinta suci dan
pengorbanan. Ia adalah cinta suci dan pengorbanan suami isteri malah
cinta suci dan pengorbanan dalam hubungan ibu bapa dan anak.
Pengorbanan suami isteri
Menurut sejarah, Nabi Ibrahim a.s dan Siti Sarah sudah lama berumah
tangga, namun tidak dikurniakan zuriat. Siti Sarah mencadangkan supaya
Nabi Ibrahim a.s berkahwin lagi dan merestui Siti Hajar menjadi madunya.
Pada mulanya Nabi Ibrahim keberatan kerana cintanya terhadap Siti Sarah
tidak luntur.
Namun, Siti Sarah berkeras dan akhirnya Nabi Ibrahim bersetuju
memperisterikan Siti Hajar. Apabila Siti Hajar hamil, Nabi Ibrahim amat
gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut berasa gembira. Tetapi, berita
kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu.
Kian hari, rasa cemburunya kian menebal, terutama selepas kelahiran
Nabi Ismail a.s hingga Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar
dan anaknya jauh dari tempat itu. Lalu Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar
dan anak mereka menuju ke Baitul Haram.
Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan
perintah Allah. Segala kesukaran yang ditempuh Siti Hajar bersama
anaknya, Nabi Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah
padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang
isteri kepada perintah suaminya.
Kisah ketabahan Siti Hajar diaplikasikan ketika umat Islam menunaikan
ibadat haji malah umrah. Para jemaah difardukan untuk menunaikan sai
iaitu berulang-alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia
bertujuan mengingati kembali falsafah pengorbanan Siti Hajar tika itu.
Inilah iktibar daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri
contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari
ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, pasti bahagia akan dikecapi.
Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh
pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan
suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani. Siti
Hajar tidak mempertikaikan haknya sebagai isteri tetapi lebih kepada
berusaha melaksanakan tanggungjawabnya.
Nabi Ibrahim juga mengorbankan perasaannya semata-mata akur kepada perintah Ilahi.
Lantaran, buat para suami dan isteri, lengkapkanlah diri anda untuk
menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah. Insya-Allah anda akan mampu
menjadi suami dan isteri yang bertanggungjawab dan membahagiakan
pasangan anda.
IBADAH korban yang dijalankan sewaktu Hari Raya Aidiladha perlu dihayati dan direnungi sedalam-dalamnya oleh umat Islam.
Aidiladha turut mengajar kita mengenai besarnya cinta dan pengorbanan seorang anak kepada bapa.
Nabi Ismail berlapang dada menerima hajat ayahanda baginda yang
diperintahkan oleh Allah agar menjadikan anakanda kesayangan sebagai
korban. Tiada bantahan, larangan atau pujukan, sebaliknya hanya
sokongan. Nabi Ismail berpesan kepada ayahandanya agar dirinya diikat
kemas supaya dirinya gagal untuk meronta tika kesakitan hingga
memungkinkan ayahandanya mengengkari perintah Allah.
Betapa cintanya si anak kepada bapanya itu hanya kerana menginginkan bapanya sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT.
Semangat pengorbanan itulah yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak
hari ini. Saya akui, hari demi hari, banyak kes kegagalan si ayah dalam
melaksanakan tanggungjawab yang patut dan wajar kepada anak-anak.
Ramai ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah yang sepatutnya
terutama apabila berlakunya perceraian. Lazimnya, anak diletakkan di
bawah jagaan ibu manakala si ayah lupa akan tanggungjawab tersebut.
Kesan tidak ambil peduli itu menyebabkan anak-anak gagal untuk menyayangi dan menghormati si ayah.
Dalam satu kes baru-baru ini; seorang lelaki bertanya: "Apakah hukumnya seorang anak tidak mendoakan ayahnya?"
Jawapan saya, antara amalan untuk murah rezeki ialah mendoakan
kedua-dua ibu bapa. Namun dia menambah: "Masalahnya puan, ayah saya ni
tak pernah sayang dan peduli langsung tentang hidup anak. Kahwin sampai
empat tapi tak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak."
Mencintai ibu bapa
Saya memberitahunya, tanggungjawab seorang anak ialah untuk kekal
menghormati ayahnya tidak kira siapapun si ayah, walaupun dia gagal
melaksanakan tanggungjwabnya.
Ayah yang gagal, itu antara dia dengan Allah. Si ayah itu yang
derhaka amanahnya dengan Allah. Sebagai anak, jangan pula jadi anak
derhaka. Mungkin doa anak itu mampu ubah sikap ayah. Walaupun si ayah
sudah meninggal, doa anak boleh membantunya di alam 'sana'.
"Tapi bukankah ayah jadi punca anak derhaka sebab ayah tak mendidik anak dengan baik?" Tanya lelaki itu lagi.
Memang tanggungjawab ibu bapa untuk didik anak-anak namun apabila
anak sudah mukalaf iaitu layak menerima tanggungjawab, si anak
bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri juga untuk buat yang baik dan
tinggalkan yang buruk. Tidak boleh salahkan ayah semata-mata.
Jika pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang anak belum
mencapai tahap pengorbanan Nabi Ismail, bukankah selayaknya kita
berusaha untuk mencintai ibu dan bapa kita sebagaimana cintanya Nabi
Ismail kepada Nabi Ibrahim?
Buktikanlah cinta kepada ibu bapa dengan memaafkan kesilapan mereka
dan tetap kekal mendoakan kesejahteraan mereka, bukan hanya di dunia
tetapi kehidupan di akhirat.
Jika tidak mampu membantu ibu bapa berada dalam reda Ilahi, cukuplah
sekadar kita dapat mengelakkan diri daripada terus menyusahkan mereka.
Ingatlah! Doa anak yang soleh antara tiga perkara dibawa bersama ketika
maut menjemput kita.